Bantuan Wang Ihsan Dinaikkan Sehingga RM1,000 Kepada Setiap Isi Rumah – PM

 Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, inisiatif kadar Bantuan Wang Ihsan (BWI) kini dinaikkan daripada RM5,00 kepada RM1,000.

BANTUAN WANG IHSAN

Bantuan itu akan diagihkan kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau bencana lain yang diisytiharkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).

“Keputusan menaikkan kadar bantuan ini, membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap mangsa bencana ditambah pula dengan impak ekonomi rakyat akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Tambahnya lagi, bantuan ini bukanlah sebagai pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan yang dialami, tetapi ia adalah untuk meringankan beban yang ditanggung mangsa.

Perdana Menteri berkata, pendekatan baharu lain yang turut diputuskan adalah pembangunan Sistem eSumbangan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai platform penyelarasan bantuan antara penderma dan NGO kepada mangsa bencana.

“Bersesuaian dengan semangat Keluarga Malaysia juga, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dan prihatin dengan persekitaran termasuk ke atas jiran serta rakan selain ahli keluarga sendiri ketika musim tengkujuh nanti, untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” jelasnya.

0 comment... add one now