Pakej bantuan baharu dijangka diumum dalam tempoh terdekat - Tengku Zafrul

PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka mengumumkan pakej rangsangan baharu dalam masa terdekat bagi membantu memulihkan sektor-sektor ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pakej bantuan secara bersasar itu antaranya memfokuskan sektor pelancongan yang masih bergelut susulan larangan rentas negeri.

pakej bantuan baru

Katanya, kementerian sedang mengumpulkan data bagi meneliti individu dan syarikat yang benar-benar terkesan, ketika ini.

"Di sini kita sedang membuat perbincangan di peringkat Kementerian Kewangan bersama-sama dengan kementerian-kementerian berkenaan, bagaimana kita boleh menolong terutamanya sektor yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19.

"Pengumuman itu akan dibuat dalam masa terdekat. Apa yang penting adalah mereka perlu 'restart', dan ada segelintir (sektor) yang tidak boleh 'restart', sebagai contoh pelancongan," katanya di sini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membentangkan laporan sorotan dan kejayaan Kementerian Kewangan sempena Setahun Malaysia Prihatin.

Tegas beliau, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menjadi tunjang utama kepada pemulihan semula ekonomi negara.

Jelas beliau lagi, cabaran utama kerajaan juga adalah untuk mengimbangi kehidupan dan nyawa rakyat.

Justeru katanya, pakej-pakej rangsangan yang diumum oleh kerajaan dirangka berdasarkan keadaan semasa termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Di mana ketika PKP 2.0 ini kita membenarkan banyak industri untuk beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Kita belajar daripada perkara itu dan juga pakej-pakej bantuan yang kita umum. Berdasarkan data yang kita ada, kita tahu mana satu sektor yang terjejas.

"Seperti yang anda tahu, sektor yang terjejas teruk ketika ini adalah pelancongan dan peruncitan," katanya sambil menzahirkan ucapan terima kasih kepada kakitangan Kementerian Kewangan yang bertungkus-lumus merangka polisi.

Tambah Tengku Zafrul, tindakan dalam mendepani cabaran adalah berpandukan kepada Pelan Pemulihan Ekonomi '6R'.

Sejak pelaksanaan PKP 1.0, kerajaan telah memperkenalkan empat pakej ransangan ekonomi bernilai RM305 bilion.

Ia masing-masing melibatkan Bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) melibatkan peruntukan RM250 bilion dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin Tambahan) sebanyak RM10 bilion.

Selain itu, turut diumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) melibatkan perbelanjaan sebanyak RM35 bilion, selain Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (Kita Prihatin) dengan peruntukan RM10 bilion.

Awal tahun ini, inisiatif kelima iaitu Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion pula diumumkan. - Astro Awani

0 comment... add one now