Insentif Khas Sebulan Setengah Gaji Pokok dan RM500 secara One-Off Penjawat Awam Sarawak

Kuching: Penjawat awam Sarawak menerima 'durian runtuh' apabila diberi insentif khas sebulan setengah gaji pokok atau minima RM2,000 yang akan dibayar sebelum penghujung tahun ini.

belanjawan sarawak 2021

Turut menikmati bayaran insentif itu, penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak yang akan menerima bayaran sebanyak RM500 secara 'one-off' pada suku pertama tahun depan.

Khabar gembira itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat menghargai sumbangan, pengorbanan dan komitmen penjawat awam negeri dan Persekutuan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara profesional ketika berdepan situasi yang mencabar sekarang.

"Pentadbiran saya menyedari sokongan dan sumbangan Perkhidmatan Awam Sarawak di bawah pimpinan Setiausaha Kerajaan Negeri dalam melaksanakan dasar kami, menyampaikan program dan projek pembangunan serta perkhidmatan awam kepada rakyat.

"Banyak proses dan prosedur urusan dipermudahkan untuk kepentingan rakyat," katanya.

Justeru, Abang Johari berkata, beliau gembira dengan pencapaian Perkhidmatan Awam Sarawak yang memainkan peranan dalam memastikan kebanyakan projek dilaksanakan dengan baik dan dilaksanakan tepat pada waktunya seperti Projek Rakyat dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

"Ini menunjukkan bahawa Perkhidmatan Awam Sarawak dapat memenuhi peluang untuk memenuhi harapan rakyat yang semakin meningkat, walaupun pada masa yang mencabar seperti tahun ini.

"Ketika wabak Covid-19, anggota Perkhidmatan Awam Sarawak dan Perkhidmatan Awam Persekutuan termasuk doktor, jururawat, pekerja kesihatan, badan beruniform, imigresen dan kakitangan barisan hadapan yang lain juga bekerja tanpa penat untuk melindungi rakyat kita," katanya.

Abang Johari berkata, beliau bersyukur kerana komitmen tinggi semua penjawat awam itu, wabak Covid-19 dapat dikawal dengan baik ke tahap yang terkawal

"Mereka mempertaruhkan keselamatan mereka sendiri dan mengorbankan keselesaan mereka. Terdapat juga banyak anggota perkhidmatan awam yang bekerja di belakang tabir, jauh dari pandangan publisiti, tetapi bekerja dengan tekun di tempat kerja masing-masing. Kepada mereka semua, saya ucapkan terima kasih," katanya.

Sumber : Harian Metro

0 comment... add one now