Rebut Tawaran Diskaun PTPTN






tawaran diskaun ptptn

Kuala Lumpur: Masih berbaki lima bulan bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyegerakan pembayaran pinjaman menerusi diskaun ditawarkan kerajaan.

Menerusi Pembentangan Bajet 2017 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 21 Oktober 2016 yang lalu, dua insentif diumumkan iaitu pemberian diskaun kepada peminjam PTPTN dan pemberian geran sepadan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Pemberian diskaun kepada peminjam PTPTN membabitkan insentif 15 peratus untuk peminjam yang membuat penyelesaian penuh keseluruhan baki pinjaman.

Selain itu, diskaun 10 peratus diberikan kepada peminjam yang menyelesaikan sekurang-kurangnya 50 peratus keseluruhan hutang manakala diskaun 10 peratus bagi bayaran melalui potongan gaji atau direct debit mengikut jadual ditetapkan.

Diskaun 15 dan 10 peratus itu layak diterima peminjam berkuat kuasa 22 Oktober 2016 sehingga 31 Disember 2017 ini.

Timbalan Ketua Eksekutif, Dasar dan Operasi, PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, insentif diskaun yang diberikan kepada peminjam adalah langkah untuk mengurangkan beban yang ditanggung peminjam.

“Diskaun ini terbuka kepada semua peminjam PTPTN sama ada mereka sudah dikenakan tindakan penguatkuasaan atau tidak, malah yang paling penting peminjam perlu memulakan atau meneruskan bayaran balik mereka.

“Ia dapat mengurangkan jumlah hutang yang perlu dibayar peminjam. Tawaran yang diberikan itu meningkatkan kesedaran peminjam untuk membuat bayaran balik secara konsisten melalui kaedah potongan gaji atau direct debit,” katanya.

Menurutnya, bermula 22 Oktober 2016 hingga Jun lalu, diskaun keseluruhan diberikan kepada peminjam berjumlah RM242.7 juta dengan RM1.67 bilion bayaran balik dapat dikutip.

Bagi mereka yang mahu membuat penyelesaian keseluruhan baki hutang pinjaman dan mendapatkan diskaun 15 peratus juga boleh berbuat demikian menerusi simpanan Akaun II Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Berkuat kuasa 21 Julai lalu, hampir 53,000 peminjam PTPTN boleh menggunakan simpanan Akaun II KWSP bagi menyelesaikan baki pinjaman pendidikan tanpa mengira tarikh kuat kuasa perjanjian pinjaman pendidikan masing-masing.

Sementara itu, PTPTN menetapkan 2017 sebagai Tahun Penabungan bagi menggalakkan orang ramai membudayakan amalan itu tanpa bergantung 100 peratus kepada pinjaman untuk melanjutkan pelajaran.

Justeru, dalam usaha menggalakkan orang ramai terutamanya ibu bapa berbuat demikian, PTPTN menyediakan lebih 2,500 hadiah bernilai RM500,000 untuk pendeposit skim simpanan pendidikan SSPN-i dan SSPN-i Plus menerusi Cabutan WOW! 20 Tahun PTPTN.

Cabutan WOW! 20 Tahun PTPTN ini merangkumi Cabutan Bulanan dan Cabutan Istimewa sebagai tanda penghargaan, dorongan serta galakan kepada orang ramai yang menyimpan dengan PTPTN.

Selain itu, ibu bapa yang mempunyai anak tahun satu di sekolah bantuan penuh kerajaan diminta merebut peluang disediakan melalui Insentif Khas Geran Sepadan bagi membolehkan mereka menerima tambahan keistimewaan simpanan secara percuma RM50 jika membuka akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus.

Untuk itu, peminjam PTPTN di utara tanah air yang ingin membuat bayaran balik, ingin berbincang dengan PTPTN serta membuat penabungan pendidikan boleh mengunjungi kaunter PTPTN sempena Pameran Hartanah MyRumah NSTP 2017 yang akan diadakan di Aman Central, Alor Setar, Kedah pada 4 hingga 6 Ogos 2017 jam 10 pagi hingga 10 malam.

Tujuan PTPTN menyertai Pameran Hartanah ini adalah untuk membantu peminjam PTPTN yang mempunyai rekod tidak baik di dalam CCRIS disebabkan mereka tidak membayar pinjaman PTPTN dan berhasrat untuk membeli rumah. Selain daripada Pameran Hartanah MyRumah NSTP, PTPTN juga sentiasa bersama-sama pameran rumah yang lain seperti PRIMA.

sumber : myMetro




Langgan Updates Jawatan Kosong Terkini ke Email Anda (FREE):

0 Response to "Rebut Tawaran Diskaun PTPTN"

Post a Comment